Isnin, 4 Mei 2009

DOA YANG TIDAK TERMAKBUL DISIMPAN UNTUK AKHIRAT


BERDOA adalah suatu ibadat. Insan dianggap melakukan kebaktian dan
ibadat ketika berdoa kepada Tuhannya. Sama ada sesuatu doa dimakbul atau tidak,
pahalanya sentiasa ada di sisi Allah.

Justeru, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Doa adalah ibadat." Setiap
doa pula dimakbulkan dari tiga segi, iaitu:

Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi
harapan setiap orang yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang memperoleh
kurniaanhasil kesungguhan mereka berdoa.

Kadangkala dengan begitu pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah
yang hanya Allah Maha Mengetahui.

Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap
mustahil oleh manusia.

Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan untuk balasan
kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki Allah.

Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik
daripada Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki,
kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara.

Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah
Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik
sesuatu perkara yang dimohon. Akal manusia kadangkala tidak mampu
menjangkau hakikat sesuatu.

Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan
menimpa.Insan terselamat daripada betapa banyak keburukan bukan kerana
kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang barangkali
berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.

Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepada-Nya dan jangan berputus
asas untuk mendapatkan rahmatnya, selagi ia untuk kebaikan diri kita dan
sesama insan serta meminta perlindungan daripada-Nya.

====================================================================================

PESANAN

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang
Memiliki mu."

Tiada ulasan: