Selasa, 11 Ogos 2009

kesuburan wanita turun kerana lambat kahwin

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kadar kesuburan di negara ini turun daripada nisbah 2.8 anak bagi seorang wanita pada tahun 2000 kepada 2.2 anak pada tahun 2008.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penurunan itu disebabkan kelewatan perkahwinan dan ada pasangan yang terikat dalam pasaran pekerjaan.Bagaimanapun, katanya, jumlah penduduk Malaysia kini meningkat daripada 23.3 juta pada tahun 2000 kepada hampir 28 juta pada 2008.''Malaysia kini menuju ke arah penuaan penduduk kerana warga emas yang berumur 60 tahun ke atas meningkat kepada 6.8 peratus daripada jumlah penduduk berbanding dengan 6.2 peratus pada tahun 2000.''Negara juga di pertengahan fasa kedua memperlihat penurunan kesuburan dan kematian. Kesannya, nisbah penduduk dalam umur produktif dan bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun, meningkat kepada 59.6 peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 1991 kepada 63.5 peratus pada tahun 2008,'' katanya.Beliau berucap demikian pada ketika merasmikan Persidangan Kependudukan dan Pembangunan 2009 anjuran Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.Turut hadir timbalannya, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman.Tambah Shahrizat, golongan warga emas dianggar akan bertambah kepada 2.2 juta pada tahun 2020 iaitu peningkatan kira-kira 83,000 warga emas setahun.''Setiap warga emas yang bersara pada umur 55 atau 58 tahun hari ini, masih mampu untuk menyumbang secara produktif kepada negara.''Kajian menunjukkan negara boleh tingkatkan jumlah penduduk berumur antara 20 hingga 30 tahun iaitu golongan muda yang memasuki pasaran pekerjaan. Ini bagi mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020,'' katanya.Dalam pada itu, Aminah berkata, persidangan dua hari itu membantu mengenal pasti dan membincang isu dan cabaran bagi memantapkan pelaksanaan program dan aktiviti kependudukan negara di masa hadapan.''Persidangan tiga sidang pleno dan tiga meja bulat serentak itu juga akan membincangkan kejayaan negara dalam pelaksanaan Program Tindakan Kependudukan dan Pembangunan yang dicapai di Kaherah pada 1994.''Pakar-pakar kependudukan dari dalam dan luar negara, perancang jabatan atau agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan antarabangsa akan membentang kertas kerja di persidangan tersebut,'' katanya.Menurutnya, syor-syor persidangan akan dijadikan sebagai input Kajian Pelan Strategik Kependudukan yang sedang dijalankan LPPKN.''Seramai 250 peserta terdiri daripada penggubal dasar, pegawai kerajaan, ahli akademik, sektor swasta, NGO dan penuntut institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah turut menghadirinya,'' jelasnya.Dipetik dari Utusan Malaysia Online, 11 Ogos 2009